Monday, 10 December 2012

KEPENTINGAN ILMU


MARI BICARA TENTANG ILMU
Menuntut ilmu merupakan satu kewajipan kepada setiap manusia. Manusia tidak lari dari memiliki perasaan ingin tahu dan berusaha menambah ilmu pengetahuan. Ilmu sangat penting dalam menjalani kehidupan dan menjadi keperluan utama manusia.  Tanpa ilmu seseorang itu dipandang hina oleh masyarakat. Manusia yang tidak mempunyai ilmu pengetahuan ibarat “melukut di tepi gantang”.
Manusia dikurniakan akal untuk berfikir. Dengan anugerah tersebut manusia berusaha memperolehi pelbagai maklumat dan pengetahuan yang akan dijadikan bekal di dunia dan di akhirat. Sudah menjadi adat dalam kehidupan terdapat perbezaan pangkat atau kedudukan antara manusia kerana memiliki ilmu pengetahuan. Yang berpelajaran akan berjawatan tinggi dan bergaji mahal, manakala yang tidak berpelajaran menjadi kuli dan seringkali tidak cukup makan. Namun perlu diingat, kekayaan yang dimiliki tidak bermakna tanpa ilmu pengetahuan, begitu juga jika sombong dan bongkak kerana mempunyai pangkat dan kedudukan.
Dalam Islam, ilmu terbahagi dua iaitu ilmu fardu ain dan kedua, ilmu fardu kifayah. Kedua-dua bahagian ilmu ini perlu dimiliki oleh setiap muslim agar memperolehi kebahagian di dunia dan di akhirat. Kedua-dua ilmu  tersebut merangkumi semua ilmu pengetahuan sama ada yang berkaitan dengan keagamaan seperti fekah dan usuluddin, dan ilmu keduniaan seperti perubatan, sains dan sebagainya.

KELEBIHAN MENUNTUT ILMU
1.   Allah Taala meninggikan kedudukan, pangkat dan darjat bagi orang yang mempunyai ilmu pengetahuan.
2.   Memperolehi kejayaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.
3.   Berguna kepada agama, diri sendiri, masyarakat dan negara.
4.   Ahli ilmu (ulama) mendapat kedudukan istimewa dan akan memberi syafaat di akirat kelak.
5.   Menuntut ilmu lebih besar ganjaran pahala daripada bersembahyang sunat.
6.   Allah kasih kepada orang yang menuntut ilmu.

No comments:

Post a Comment